Jumaat, 22 Oktober 2010

Soal Jawab

Hukum Memperjuangkan Kepentingan Bangsa


Soalan : Dr Asri, apakah pandangan Islam mengenai perjuangan memartabatkan bangsa? Ada yang kata tak Islamik, ada yang kata asabiyyah. Ada pula yang berkata Islam sama sekali tidak peduli masalah kaum. Kita di Malaysia orang Melayu beragama Islam, salahkah jika kita berjuang mengangkat hak bangsa melayu? Harap Dr Asri dapat jelaskan kekeliruan ini.

Saifuddin, Johor.

Jawaban Dr. MAZA: Saudara Saifuddin, Allah ialah tuhan untuk semua manusia tanpa mengira bangsa. Islam adalah agama Allah yang diutuskan agar dianuti oleh setiap bangsa tanpa sebarang diskriminasi. Dalam masa yang sama Islam akui kewujudan manusia berpuak dan berbangsa. Allah Tuhan Yang Maha Pencipta telah menciptakan manusia dalam keadaan demikian dengan hikmah yang begitu banyak. Di sini saya sebut beberapa perkara untuk memahami isu ini;

1. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya)
“dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).
2. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.
3. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) (maksudnya):
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini:
“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).
4. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).
5. Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya)
“Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37)
6. Nabi s.a.w juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.
7. Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanati puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).
Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.
8. Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.
9. Kesimpulannya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.

Politik

Perhimpunan Agung Umno 2010: Satu Pandangan

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2010: SATU PANDANGAN
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Seperti biasa, setiap hari Khamis saya akan menulis untuk ruangan ini untuk disiarkan oleh Sinar Harian pada hari Jumaat. Biasanya, saya akan menjawab soalan-soalan yang dihantar, ataupun kadang-kala mencoretkan tentang perjalanan saya ke negara tertentu. Pagi Khamis saya agak kelam kabut. Saya terpaksa menulis seawal jam 4 pagi kerana pagi ini saya akan bermusafir ke Dubai dan sehari selepas itu ke Doha. Ada forum di kota tempat tersebut mengenai Islam, Melayu dan Masa Depan Malaysia. Saya terlibat sebagai seorang dari panelisnya.

Forum itu dianjurkan oleh golongan professional rakyat Malaysia yang berada di sana. Ratusan rakyat kita dengan gaji yang besar hidup di kedua negara tersebut. Mereka akan pulang dan mampu mempengaruhi keluarga dan sahabat. Mereka ingin mendengar isu-isu tanahair secara langsung dari tokoh-tokoh yang mereka jemput. Alhamdulillah, saya turut dijemput. Di samping itu saya juga ada beberapa siri ceramah yang lain di sana.

Sebenarnya, sehari dua ini saya menghadiri Persidangan Agung UMNO. Saya menjadi tetamu jemputan semasa perasmian sayap-sayap UMNO oleh YAB Timbalan Presiden UMNO. Juga saya menghadiri ucapan dasar YB Ketua Pemuda UMNO. Pada hari ini (Khamis), saya juga mendapat jemputan untuk ucapan dasar Presiden, cumanya saya terpaksa berangkat ke Dubai. Semalam (Rabu) saya menjadi panel siaran langsung di Awani memberikan pandangan apa yang saya lihat dan nilai mengenai Perhimpunan Agung UMNO berasaskan ucapan-ucapan dari sayap-sayap parti tersebut.
Ya, kehadiran saya dalam Perhimpuan Agung UMNO menimbulkan banyak persoalan dari wartawan, rakan-rakan dan selain mereka. Apakah saya ingin menyertai politik? Saya enggan mengulas hal ini. Politik kita sepatutnya pergi lebih jauh daripada sekadar mengisi borang ahli. Politik bukan sekadar dalam kepungan pagar-pagar kepartian. Politik sepatutnya berteraskan pemikiran dan idea. Jika politik diukur dengan pandangan dan idea, saya kira saya telah cuba melakukannya selama ini.
Namun, saya juga ingin berterima kasih kepada UMNO, maklum saja, pandangan-pandangan saya kebelakangan ini agak ‘tajam’ buat UMNO terutama yang membabitkan isu-isu agama di mana saya menentang penafsiran sempit tentang isu bukan Islam masuk masjid, berdoa untuk bukan Islam, isu wang judi untuk fakir miskin dan lain-lain. Namun, UMNO masih menjemput saya. Ruang menerima perbezaan nampaknya masih ada dibandingkan dengan sesetengah kumpulan politik yang lain. Bahkan saya menjadi panel semasa forum anjuran Kelab UMNO luar negara di PWTC dua hari sebelum Persidangan Agung parti itu bermula. Ruang kesediaan mendengar pandangan luar terutama ‘pihak ketiga’ yang tiada kepentingan merebut kerusi harap disuburkan lagi oleh UMNO dalam usaha membaik pulih parti tersebut.
Di sini, saya ingin berkongsi dengan pembaca saya di sini beberapa pandangan tentang politik kita dalam negara ini khusus apa yang saya lihat dalam Perhimpunan UMNO tersebut. Saya sebenarnya tertarik dengan isi ucapan YB Ketua Pemuda UMNO yang saya rasa melakarkan politik yang lebih terbuka dan politik era baru. Sayap-sayap yang lain –minta maaf- pada saya masih lagi dalam ‘rentak semalam’ dan belum menggambarkan politik era baru.
Namun, ucapan pemuda menuju kepada inspirasi politik masa hadapan. Politik yang berani menilai tindakan parti sendiri, bukan ‘pak turut’, politik yang merentasi sempadan perkauman dan tafsiran agama secara sempit, politik yang berteraskan ketajaman idea, bukan kerakusan kuasa. Gesaan untuk gerakan politik berasaskan ‘perang idea’ bukan ugutan menggunakan kuasa adalah sesuatu yang diperlukan di masa kini. Cuma saya masih tertanya, mampukah UMNO melaksanakannya.
Saya ingin menyebut beberapa perkara di sini yang berkait dengan sudut agama;
1. Kita mengharap parti-parti yang diwujud dalam negara ini bersaing secara sihat. Mereka hendaklah menjadi pasaran idea yang menguntungkan negara. Mereka hendaklah bak pasar terbuka yang menyediakan barangan segar dan berkualiti yang dapat dinikmati oleh rakyat. Sesiapa yang berjaya menyediakan barangan yang terbaik dan memenuhi inspirasi rakyat akan mendapat tempat. Rakyat akan membeli mereka sokongan kesetiaan dan undi dalam pilihanraya. Maka, setiap parti hendaklah bertungkus-lumus menyediakan idea-idea politik dan kenegaraan yang berkualiti dan praktikal untuk sebuah negara bernama Malaysia. Ini politik Ulul Albab, politik golongan yang matang dan masak fikiran mereka. Serasi dengan firman Allah: (maksudnya)
“..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).
2. Jika ini dijadikan asas, maka tiada seorang pun boleh tampil menjadi pemimpin politik sedangkan dia katandusan idea dan karisma kepimpinan. Hanya mereka yang amanah dan berkemampuan sahaja layak memimpin. Pemimpin politik dikenali dengan ketajaman idea dan ketokohannya, bukan dengan gaya mewah dan hartanya. Firman Allah (maksudnya):
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas: 26)
3. Bukan kerja sesebuah parti politik itu sekadar untuk menceritakan kelemahan lawannya, sedangkan dia sendiri kontang idea. Politik menuding jari kepada kesalahan orang lain tanpa mampu membukti kemampuan diri adalah politik adu-domba yang tidak sesuai untuk sebuah negara yang aman dan merdeka. Politik yang sekadar menceritakan hal ‘kain orang’ sehingga terlupa diri sendiri, tidak akan mampu membawa kita ke mana. Kehebatan ceramah atau ucapan politik bukanlah apabila ia sarat dengan mengutuk lawannya, tetapi kehebatan apabila mampu memberikan pandangan dan idea yang dapat membangunkan rakyat dan negara.
4. Islam adalah teras politik orang melayu, bahkan semua mereka yang mendakwa dirinya muslim. Kejayaan kita hanyalah apabila kita kembali berpegang dengan Islam yang tulen seperti mana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Tiada siapa yang patut berbeza pendapat dalam hal ini. Tokoh-tokoh politik muslim dalam negara ini hendaklah mendalami dan mempelajari politik dalam kacamata Islam. Politik dalam Islam sangat luas, fleksibel dan praktikal, namun sentiasa bertunjangkan wahyu. Bukan semua cakap ‘ustaz’ tentang politik itu boleh ditelan. Politik ada disiplinnya yang tersendiri yang memerlukan keluasan pengetahuan tentang maqasid syarak (tujuan syarak) yang memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara. Sekadar mempelajari beberapa hal dalam agama belum tentu dalam mendalami maksud politik dalam Islam.
5. Tafsiran politik sempit sekalipun atas nama Islam hendaklah ditolak. Politik dalam Islam tidak sempit tetapi luas dan lebar berteraskan maslahah rakyat. Persis seperti kata Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):
“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).
6. Justeru, UMNO atau selain mereka dalam memilih pandangan-pandangan agama dalam negara yang berbilang bangsa dan agama ini, hendaklah memilih pandangan yang paling kuat dari segi dalil dan dalam masa yang sama memenuhi keperluan suasana negara. Islam akan menjadi mangsa jika isu-isu agama dimainkan mengikut selera politik. Dukacita –pada pandangan saya-UMNO kebelakangan ini memainkan isu-isu yang menjadikan UMNO seakan PAS di era 80an. Ketika PAS mula menonjolkan diri lebih terbuka dan cuba mengambil pandangan-pandangan yang lebih relevan untuk partinya, UMNO pula memainkan isu-isu yang ‘lekeh’. Isu-isu bukan muslim tidak boleh masuk masjid, tidak boleh berdoa untuk bukan muslim, isu wang judi dan seumpamanya menjadikan UMNO kelihatan mengadaptasi pandangan-pandangan sempit dan tidak relevan untuk sebuah pemerintahan yang bersifat pelbagai kaum dan agama. Media-media pro-UMNO menonjolkan pandangan-pandangan agama ‘jalur keras’ yang dibuat oleh tokoh-tokoh agama yang dipilih seakan berpihak kepada UMNO. Akhirnya, Islam menjadi mangsa, UMNO dipandangkan berbahaya.
7. Maka, politik idea dan ilmu hendaklah dimakmurkan.Politik ‘yes man’ tanpa memikirkan apa yang diungkapkan hendaklah dielakkan. Inilah yang terjadi apabila slogan Islam Hadari dilaungkan dan yang lain hanya mengangguk tanpa memberikan pandangan yang kritis. Akhirnya, slogan itu memakan diri UMNO.
Inilah pandangan saya yang ikhlas dan sepintas lalu untuk UMNO dan juga parti-parti politik yang lain.

Khamis, 21 Oktober 2010

Tazkirah

Merasai Kemanisan Iman

by Ber"couple" itu Haram. on Thursday, October 21, 2010 at 9:10pm
Dalam kehidupan setiap umat telah diberikan nikmat iman oleh Allah swt. Dalam mencari kedamaian dan keharmonian hidup seharian,sebagai umat Islam kita mestilah mempunyai prinsip yang murni dan sihat. Tingkatan kenikmatan dan kemanisan iman yang dikecapi oleh seseorang bergantung kepada prinsip hidupnya iaitu kasih kepada Allah dan Rasul-Nya mengatasi segala-galanya disamping kasih kepada manusia,dengan tujuan menuntut keredhaan Allah dan benci kepada kekufuran.

Sebagai manusia yang beriman,perkara kekufuran tidak seharusnya berlaku dalam kehidupan di dunia ini.Manusia yang tidak beriman akan selalu lupa kepada nikmat ciptaan Allah terhadapnya. Manusia yang tidak bersyukur akan menjadi kufur dan lupa akan tujuan mereka dihidupkan di dunai ini sebagai khalifahNya. Rasulallah saw menjelaskan dalam sabdanya yang bermaksud:
”Tiga perkara menyebabkan terasa kemanisan iman,Allah dan Rasul-nya hendaklah dicintai lebih daripada yang lain,mencintai manusia kerana Allah semata-mata dan benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana bencinya seseorang jika dicampakkan ke dalam api neraka”(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Begitu tingginya tahap kemanisan iman yang harus dicapai setiap umat Islam. Mukmin tersebut akan merasai betapa bahagianya hidup menjadi umat Islam yang beriman dan berada dalam ketenangan dan kedamaian,merasai keinginan dan kelazatan lidahnya dengan berzikir mengingati Allah swt. Al-Quran pula sebagai petunjuk yang sentiasa mendidik dan memberi pengajaran kepada semua manusia untuk dapat membentuk keimanan yang sempurna.

Pendidikan iman manusia diterapkan sejak manusia mengenal perkara baik dan buruk. Iman mendidik manusia mengenal dan meyakini adanya perkara-perkara ghaib yang wajib dipercayai melalui rukun iman seperti percaya kepada hari akhirat,qada dan qadar seta syariat Islam. Keimanan antara lain memberi keyakinan bahawa manusia memerlukan pertolongan Allah dalam segala urusan duniawi dan ukhrawi. Iman memberi peringatan mengenai hukum Allah dan kewajipan mentaatinya.
Iman mendidik manusia supaya mencintai Allah dan Rasulullah serta keluarganya(Ahlu Al-bait) dengan membiasakan diri dengan membaca al-quran. Iman memberi motivasi dengan semangat untuk terus tekun berusaha,supaya manusia tidak bergantung kepada takdir semata-mata untuk mencapai kejayaan hidup. Melalui iman yang mantap,ia akan mengingatkan manusia supaya tidak melupakan kepentingan hidup di akhirat ketika hidup di dunia ini. Firman Allah swt yang bermaksud;
”Dan carilah apa-apa yang dikurniakan Allah kepada(kebahagiaan)akhirat dan janganlah kamu melupakan kebahagian dari(nikmat)dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik terhadapMu” (Al-Qasas:77)

Iman merupakan faktor paling penting yang mendidik dan membentuk sahsiah manusia yang teguh dan berakhlak mulia,berakal budi murni serta memperlihatkan teladan yang baik.

Koleksi Tazkirah FB

Fahaman Sekular Di Kalangan Ahli Agama


Wujudnya ulama yang menyokong kerajaan sekular yang beragama Islam bukanlah suatu yang pelik dan baru. Sejak aliran pemeritahan sekular di negara umat Islam pasca penjajahan barat ke atas negara Islam bertapak, golongan ulama penyokong inilah yang banyak membantu ke arah ketahanan dan penerusan aliran ini sehingga hari ini, walau pun wujud faktor – faktor lain yang mungkin lebih besar.
Di negara – negara Arab, kebangkitan perjuangan ke arah Islam yang syumul yang dipelopori oleh gerakan al Ikhwan al Muslimun dan jamaah – jamaah Islam yang lain banyak direncat kemajuannya oleh fatwa, hukum, pandangan dan penentangan daripada segolongan ulama yang terus menyokong pemerintahan sekular di negara mereka.
Mereka menjadi sebab besar kekeliruan umat dan rakyat di dalam memahami perjuangan Islam, bahkan di dalam memahami agama Islam yang benar dan asli.
Sebelum rakyat tewas, ulama ini telah tewas lebih awal. Mereka gagal berperanan kerana mereka sendiri memiliki tubuh yang cacat dan terencat di sana sini. Era penjajahan yang panjang mewariskan Islam yang semakin terpinggir daripada arus depan dan atas. Pengajaran dan pendidikan Islam yang merupakan nadi kekuatan umat telah menjadi mangsa serangan musuh yang dirancang rapi untuk dirosakkan sehingga ke akar umbinya.
Maka lahirlah di muka depan umat sebuah Islam dalam maknanya yang tidak asli, layu  dan jauh daripada pejuang dan pendukungnya yang benar. Inilah Islam yang didokong oleh ulama jenis tadi dan merekalah yang mendodoinya sehingga para pemerintah sekular muslim menjadikan mereka sebagai tongkat yang memeberi mereka kekuatan untuk terus menjadi penguasa yang batil ke atas umat Islam sehingga kini.
Mereka ini cukup untuk digolongkan dalam dua aliran;
Pertama, aliran nifaq dan penipu yang hidup untuk dunia. Inilah golongan yang menjual agama dengan kehidupan dunia. Apabila didesak dan ditanya mengapa mereka sanggup membelakangi kebenaran, mereka tidak segan untuk menjawab bahawa kami hanya mahu cari makan, kami mahu keselesaan sebagaimana orang lain, kami memilih untuk menjauhi pertembungan dan kemudharatan dan kami sudah diberi kedudukan baik untuk menyebarkan Islam (Islam yang cacat)!
Ulama al su’. Ulama jahat. Inilah nama yang dilabelkan ugama ke atas golongan ulama jenis ini yang sering diperingatkan oleh Allah dan rasulNya sallaLlahu alaihi wasallamdengan azab yan pedih daripada sisi Allah kerana menyembunyikan kebenaran dan meredhai kemungkaran di hadapan mereka.
Kedua, aliran lemah dan jahil mengenai perjuangan Islam dan dakwah. Dalam denyut dan nada yang ikhlas untuk ugama, mereka menyeru kepada Islam sedangkan mereka sebenarnya memimpin dan menunjuk kepada kesamaran dan kekeliruan. Ia bermula daripada kefahaman mereka sendiri terhadap Islam, dakwah dan perjuangan yang cetek dan lemah.
Mereka mengenali Islam dan mempelajarinya di luar lingkungan praktikal perjuangan, sedang ugama ini mestilah difahami dan dihidupkan di dalam dunianya, acuannya yang ditetapkan Allah. Acuan Allah.
Aliran kedua ini bukanlah seburuk aliran pertama yang telah rosak keikhlasan dan telah membesar kerakusan mereka terhadap habuan duniawi yang diterima. Aliran ini walau bagaimanapun adalah penyakit yang perlu dirawati dan rawatannya adalah rumit kerana ia melibatkan kumpulan pemuka ugama yang kepada merekalah tergadai kepercayaan umat dan ke atas merekalah tanggung jawab memimpin umat ini.

Cerpen

Surat drpd seorang lelaki kepada "future wife"

Kehadapan my future wife(s)

I don't know who the hell are you and I have no idea where you are right now. But one day, bila kita dah berjumpa, I harap you mampu terima I seadanya seperti mana I akan terima you dan diri you sebenarnya. Lagi pun, I tahu yang you ni memang comel. Dan baik. Dan rajin. Dan alim. Dan cun.

I berharap bila I check facebook you nanti, you tidak letak banyak gambar you yang daring-daring kat facebook. Sebab, setahu I, kalau perempuan tu comel, mesti nak tunjukkan ke seluruh dunia. Macam lah dia sorang je yang comel. I comel tak ada pun letak gambar kat facebook tunjuk ke seluruh dunia. Boleh je hidup. Ehem.

Serta, gambar di facebook tu, jangan lah nak dedah sana dedah sini. Malu I. You pun tau kan, perempuan ni ibarat cokelat Ferrero Rocher. Bila berbalut dengan pembalut, even cokelat tu jatuh kelantai pun orang still nak. Tapi kalau dah tak berbalut, bila jatuh ke lantai, semua buat dono. Ada tu, kalau boleh, ada yang nak pijak lagi. You pun tak nak kena pijak kan?

Lagi pun, you tahu, tak ada lelaki di dunia ni yang nak kahwin dengan perempuan yang seksi meksi.

My future wife(s),

I tak tahu pasal masa depan I. I tak tahu berapa banyak duit yang I akan ada. So, dengan kata lain, I mungkin tak akan mampu kasi rumah 10 tingkat kat you. I juga mungkin tak mampu kasi you 10 emas intan berlian. Harap you tak kisah dengan diri I yang tak beharta ni. Tapi kalau setakat kasi you 20 hingga 30 anak tu, I okay je. Dalam tiga tahun, kita mungkin akan ada 2 anak. Tapi tu tak termasuk yang kembar tau.

Bila kita ada rumah nanti, I tak kisah kalau you nak bekerja. Tapi lagi bagus kalau you duduk je rumah jaga I. I bukan mintak di layan bagai raja. Tapi kalau I balik dari kerja tu, apa salahnya tanggalkan stokin I, urut bahu I, sediakan minum-minum I. Tapi kalau you tak nak buat, tak apa. I boleh tambah lagi 1 (cukup 2). Lagi pun, bila I tambah lagi 1, kurang la sikit beban you. See? I memang prihatin.

Hmm. You tau, I tak mengharapkan yang you adalah gadis lemah lembut dan ikut semua kata I. Kalau you boyish sikit pun apa salahnya. Aggressive itu menarik. Kalau boleh, lebihkan kat bahagian mengada-ngada dan keras kepala you tu. I suka. Senang la I nak ajak bergaduh kalau macam tu. Sebab kalau di ikutkan, I tak suka perempuan yang lemah lembut sangat. Nanti tak meriah rumah tangga. So kalau skali skala bergaduh, best juga kan? Lagi pun, kita gaduh siang-siang je, bila dah nampak katil di malam Jumaat, kita berbaik lah. Tambahan pula, bagi kita, setiap malam kan malam Jumaat.

My future wife (s),

You, I harap you reti memasak. You mesti reti memasak. Apa? Tak salah kalau perempuan tak reti masak? Ya. Memang tak salah. I tak kata pun salah. Tapi jangan salahkan I kalau I tambah lagi 1 isteri (cukup 3) sebab yang satu dan dua tak reti masak nak buat macam mana kan? Okay tak-tak. I tak nak bini 2,3,4. Banyak sangat. bukan tak mampu. Tapi... Ehem.

Actually, I bukan mintak you masak macam makan kat hotel. Asalkan you reti masak yang simple-simple sudah lah. You tau, air tangan masakan isteri lah yang buat si suami setia. Lagi pun, tak akan setiap hari kita nak makan kat restoran kan? Kalau setiap hari makan kat restoran, baik I kahwin je dengan mak cik tukang masak tu. Ye tak? You pun tak nak kan I tambah lagi satu (cukup 4) kan?

I harap you reti jaga diri sebelum jumpa I. Kalau boleh, jangan couple banyak-banyak. Tak pernah couple lagi bagus. Tapi kalau dah couple tu, jangan buat yang bukan-bukan dengan boyfriend you. Bila dating tu, jangan nak mengada-ngada keluar berdua. Boyfriend you tu bukan boleh percaya sangat. Kebanyakkanya adalah buaya. Sebab kalau dah lelaki, mesti bermulut manis. Boys, their mouth is bull****. So, don't trust them.

Akhir kata dari I, bila kita kahwin nanti, you masak, I makan. I imam, you makmum. I baca doa, you aminkan. You merajuk, I pujuk. Perfect, kan? So cepat lah cari I. I takut lah nak cari 'you'. Takut tersalah pilih perempuan lain. You pun mesti tak nak jadi isteri ke dua I kan.