Jumaat, 22 Oktober 2010

Soal Jawab

Hukum Memperjuangkan Kepentingan Bangsa


Soalan : Dr Asri, apakah pandangan Islam mengenai perjuangan memartabatkan bangsa? Ada yang kata tak Islamik, ada yang kata asabiyyah. Ada pula yang berkata Islam sama sekali tidak peduli masalah kaum. Kita di Malaysia orang Melayu beragama Islam, salahkah jika kita berjuang mengangkat hak bangsa melayu? Harap Dr Asri dapat jelaskan kekeliruan ini.

Saifuddin, Johor.

Jawaban Dr. MAZA: Saudara Saifuddin, Allah ialah tuhan untuk semua manusia tanpa mengira bangsa. Islam adalah agama Allah yang diutuskan agar dianuti oleh setiap bangsa tanpa sebarang diskriminasi. Dalam masa yang sama Islam akui kewujudan manusia berpuak dan berbangsa. Allah Tuhan Yang Maha Pencipta telah menciptakan manusia dalam keadaan demikian dengan hikmah yang begitu banyak. Di sini saya sebut beberapa perkara untuk memahami isu ini;

1. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya)
“dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).
2. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.
3. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) (maksudnya):
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini:
“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).
4. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).
5. Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya)
“Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37)
6. Nabi s.a.w juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.
7. Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanati puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).
Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.
8. Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.
9. Kesimpulannya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.

Politik

Perhimpunan Agung Umno 2010: Satu Pandangan

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2010: SATU PANDANGAN
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Seperti biasa, setiap hari Khamis saya akan menulis untuk ruangan ini untuk disiarkan oleh Sinar Harian pada hari Jumaat. Biasanya, saya akan menjawab soalan-soalan yang dihantar, ataupun kadang-kala mencoretkan tentang perjalanan saya ke negara tertentu. Pagi Khamis saya agak kelam kabut. Saya terpaksa menulis seawal jam 4 pagi kerana pagi ini saya akan bermusafir ke Dubai dan sehari selepas itu ke Doha. Ada forum di kota tempat tersebut mengenai Islam, Melayu dan Masa Depan Malaysia. Saya terlibat sebagai seorang dari panelisnya.

Forum itu dianjurkan oleh golongan professional rakyat Malaysia yang berada di sana. Ratusan rakyat kita dengan gaji yang besar hidup di kedua negara tersebut. Mereka akan pulang dan mampu mempengaruhi keluarga dan sahabat. Mereka ingin mendengar isu-isu tanahair secara langsung dari tokoh-tokoh yang mereka jemput. Alhamdulillah, saya turut dijemput. Di samping itu saya juga ada beberapa siri ceramah yang lain di sana.

Sebenarnya, sehari dua ini saya menghadiri Persidangan Agung UMNO. Saya menjadi tetamu jemputan semasa perasmian sayap-sayap UMNO oleh YAB Timbalan Presiden UMNO. Juga saya menghadiri ucapan dasar YB Ketua Pemuda UMNO. Pada hari ini (Khamis), saya juga mendapat jemputan untuk ucapan dasar Presiden, cumanya saya terpaksa berangkat ke Dubai. Semalam (Rabu) saya menjadi panel siaran langsung di Awani memberikan pandangan apa yang saya lihat dan nilai mengenai Perhimpunan Agung UMNO berasaskan ucapan-ucapan dari sayap-sayap parti tersebut.
Ya, kehadiran saya dalam Perhimpuan Agung UMNO menimbulkan banyak persoalan dari wartawan, rakan-rakan dan selain mereka. Apakah saya ingin menyertai politik? Saya enggan mengulas hal ini. Politik kita sepatutnya pergi lebih jauh daripada sekadar mengisi borang ahli. Politik bukan sekadar dalam kepungan pagar-pagar kepartian. Politik sepatutnya berteraskan pemikiran dan idea. Jika politik diukur dengan pandangan dan idea, saya kira saya telah cuba melakukannya selama ini.
Namun, saya juga ingin berterima kasih kepada UMNO, maklum saja, pandangan-pandangan saya kebelakangan ini agak ‘tajam’ buat UMNO terutama yang membabitkan isu-isu agama di mana saya menentang penafsiran sempit tentang isu bukan Islam masuk masjid, berdoa untuk bukan Islam, isu wang judi untuk fakir miskin dan lain-lain. Namun, UMNO masih menjemput saya. Ruang menerima perbezaan nampaknya masih ada dibandingkan dengan sesetengah kumpulan politik yang lain. Bahkan saya menjadi panel semasa forum anjuran Kelab UMNO luar negara di PWTC dua hari sebelum Persidangan Agung parti itu bermula. Ruang kesediaan mendengar pandangan luar terutama ‘pihak ketiga’ yang tiada kepentingan merebut kerusi harap disuburkan lagi oleh UMNO dalam usaha membaik pulih parti tersebut.
Di sini, saya ingin berkongsi dengan pembaca saya di sini beberapa pandangan tentang politik kita dalam negara ini khusus apa yang saya lihat dalam Perhimpunan UMNO tersebut. Saya sebenarnya tertarik dengan isi ucapan YB Ketua Pemuda UMNO yang saya rasa melakarkan politik yang lebih terbuka dan politik era baru. Sayap-sayap yang lain –minta maaf- pada saya masih lagi dalam ‘rentak semalam’ dan belum menggambarkan politik era baru.
Namun, ucapan pemuda menuju kepada inspirasi politik masa hadapan. Politik yang berani menilai tindakan parti sendiri, bukan ‘pak turut’, politik yang merentasi sempadan perkauman dan tafsiran agama secara sempit, politik yang berteraskan ketajaman idea, bukan kerakusan kuasa. Gesaan untuk gerakan politik berasaskan ‘perang idea’ bukan ugutan menggunakan kuasa adalah sesuatu yang diperlukan di masa kini. Cuma saya masih tertanya, mampukah UMNO melaksanakannya.
Saya ingin menyebut beberapa perkara di sini yang berkait dengan sudut agama;
1. Kita mengharap parti-parti yang diwujud dalam negara ini bersaing secara sihat. Mereka hendaklah menjadi pasaran idea yang menguntungkan negara. Mereka hendaklah bak pasar terbuka yang menyediakan barangan segar dan berkualiti yang dapat dinikmati oleh rakyat. Sesiapa yang berjaya menyediakan barangan yang terbaik dan memenuhi inspirasi rakyat akan mendapat tempat. Rakyat akan membeli mereka sokongan kesetiaan dan undi dalam pilihanraya. Maka, setiap parti hendaklah bertungkus-lumus menyediakan idea-idea politik dan kenegaraan yang berkualiti dan praktikal untuk sebuah negara bernama Malaysia. Ini politik Ulul Albab, politik golongan yang matang dan masak fikiran mereka. Serasi dengan firman Allah: (maksudnya)
“..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).
2. Jika ini dijadikan asas, maka tiada seorang pun boleh tampil menjadi pemimpin politik sedangkan dia katandusan idea dan karisma kepimpinan. Hanya mereka yang amanah dan berkemampuan sahaja layak memimpin. Pemimpin politik dikenali dengan ketajaman idea dan ketokohannya, bukan dengan gaya mewah dan hartanya. Firman Allah (maksudnya):
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas: 26)
3. Bukan kerja sesebuah parti politik itu sekadar untuk menceritakan kelemahan lawannya, sedangkan dia sendiri kontang idea. Politik menuding jari kepada kesalahan orang lain tanpa mampu membukti kemampuan diri adalah politik adu-domba yang tidak sesuai untuk sebuah negara yang aman dan merdeka. Politik yang sekadar menceritakan hal ‘kain orang’ sehingga terlupa diri sendiri, tidak akan mampu membawa kita ke mana. Kehebatan ceramah atau ucapan politik bukanlah apabila ia sarat dengan mengutuk lawannya, tetapi kehebatan apabila mampu memberikan pandangan dan idea yang dapat membangunkan rakyat dan negara.
4. Islam adalah teras politik orang melayu, bahkan semua mereka yang mendakwa dirinya muslim. Kejayaan kita hanyalah apabila kita kembali berpegang dengan Islam yang tulen seperti mana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Tiada siapa yang patut berbeza pendapat dalam hal ini. Tokoh-tokoh politik muslim dalam negara ini hendaklah mendalami dan mempelajari politik dalam kacamata Islam. Politik dalam Islam sangat luas, fleksibel dan praktikal, namun sentiasa bertunjangkan wahyu. Bukan semua cakap ‘ustaz’ tentang politik itu boleh ditelan. Politik ada disiplinnya yang tersendiri yang memerlukan keluasan pengetahuan tentang maqasid syarak (tujuan syarak) yang memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara. Sekadar mempelajari beberapa hal dalam agama belum tentu dalam mendalami maksud politik dalam Islam.
5. Tafsiran politik sempit sekalipun atas nama Islam hendaklah ditolak. Politik dalam Islam tidak sempit tetapi luas dan lebar berteraskan maslahah rakyat. Persis seperti kata Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):
“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).
6. Justeru, UMNO atau selain mereka dalam memilih pandangan-pandangan agama dalam negara yang berbilang bangsa dan agama ini, hendaklah memilih pandangan yang paling kuat dari segi dalil dan dalam masa yang sama memenuhi keperluan suasana negara. Islam akan menjadi mangsa jika isu-isu agama dimainkan mengikut selera politik. Dukacita –pada pandangan saya-UMNO kebelakangan ini memainkan isu-isu yang menjadikan UMNO seakan PAS di era 80an. Ketika PAS mula menonjolkan diri lebih terbuka dan cuba mengambil pandangan-pandangan yang lebih relevan untuk partinya, UMNO pula memainkan isu-isu yang ‘lekeh’. Isu-isu bukan muslim tidak boleh masuk masjid, tidak boleh berdoa untuk bukan muslim, isu wang judi dan seumpamanya menjadikan UMNO kelihatan mengadaptasi pandangan-pandangan sempit dan tidak relevan untuk sebuah pemerintahan yang bersifat pelbagai kaum dan agama. Media-media pro-UMNO menonjolkan pandangan-pandangan agama ‘jalur keras’ yang dibuat oleh tokoh-tokoh agama yang dipilih seakan berpihak kepada UMNO. Akhirnya, Islam menjadi mangsa, UMNO dipandangkan berbahaya.
7. Maka, politik idea dan ilmu hendaklah dimakmurkan.Politik ‘yes man’ tanpa memikirkan apa yang diungkapkan hendaklah dielakkan. Inilah yang terjadi apabila slogan Islam Hadari dilaungkan dan yang lain hanya mengangguk tanpa memberikan pandangan yang kritis. Akhirnya, slogan itu memakan diri UMNO.
Inilah pandangan saya yang ikhlas dan sepintas lalu untuk UMNO dan juga parti-parti politik yang lain.