Khamis, 21 Oktober 2010

Koleksi Tazkirah FB

Fahaman Sekular Di Kalangan Ahli Agama


Wujudnya ulama yang menyokong kerajaan sekular yang beragama Islam bukanlah suatu yang pelik dan baru. Sejak aliran pemeritahan sekular di negara umat Islam pasca penjajahan barat ke atas negara Islam bertapak, golongan ulama penyokong inilah yang banyak membantu ke arah ketahanan dan penerusan aliran ini sehingga hari ini, walau pun wujud faktor – faktor lain yang mungkin lebih besar.
Di negara – negara Arab, kebangkitan perjuangan ke arah Islam yang syumul yang dipelopori oleh gerakan al Ikhwan al Muslimun dan jamaah – jamaah Islam yang lain banyak direncat kemajuannya oleh fatwa, hukum, pandangan dan penentangan daripada segolongan ulama yang terus menyokong pemerintahan sekular di negara mereka.
Mereka menjadi sebab besar kekeliruan umat dan rakyat di dalam memahami perjuangan Islam, bahkan di dalam memahami agama Islam yang benar dan asli.
Sebelum rakyat tewas, ulama ini telah tewas lebih awal. Mereka gagal berperanan kerana mereka sendiri memiliki tubuh yang cacat dan terencat di sana sini. Era penjajahan yang panjang mewariskan Islam yang semakin terpinggir daripada arus depan dan atas. Pengajaran dan pendidikan Islam yang merupakan nadi kekuatan umat telah menjadi mangsa serangan musuh yang dirancang rapi untuk dirosakkan sehingga ke akar umbinya.
Maka lahirlah di muka depan umat sebuah Islam dalam maknanya yang tidak asli, layu  dan jauh daripada pejuang dan pendukungnya yang benar. Inilah Islam yang didokong oleh ulama jenis tadi dan merekalah yang mendodoinya sehingga para pemerintah sekular muslim menjadikan mereka sebagai tongkat yang memeberi mereka kekuatan untuk terus menjadi penguasa yang batil ke atas umat Islam sehingga kini.
Mereka ini cukup untuk digolongkan dalam dua aliran;
Pertama, aliran nifaq dan penipu yang hidup untuk dunia. Inilah golongan yang menjual agama dengan kehidupan dunia. Apabila didesak dan ditanya mengapa mereka sanggup membelakangi kebenaran, mereka tidak segan untuk menjawab bahawa kami hanya mahu cari makan, kami mahu keselesaan sebagaimana orang lain, kami memilih untuk menjauhi pertembungan dan kemudharatan dan kami sudah diberi kedudukan baik untuk menyebarkan Islam (Islam yang cacat)!
Ulama al su’. Ulama jahat. Inilah nama yang dilabelkan ugama ke atas golongan ulama jenis ini yang sering diperingatkan oleh Allah dan rasulNya sallaLlahu alaihi wasallamdengan azab yan pedih daripada sisi Allah kerana menyembunyikan kebenaran dan meredhai kemungkaran di hadapan mereka.
Kedua, aliran lemah dan jahil mengenai perjuangan Islam dan dakwah. Dalam denyut dan nada yang ikhlas untuk ugama, mereka menyeru kepada Islam sedangkan mereka sebenarnya memimpin dan menunjuk kepada kesamaran dan kekeliruan. Ia bermula daripada kefahaman mereka sendiri terhadap Islam, dakwah dan perjuangan yang cetek dan lemah.
Mereka mengenali Islam dan mempelajarinya di luar lingkungan praktikal perjuangan, sedang ugama ini mestilah difahami dan dihidupkan di dalam dunianya, acuannya yang ditetapkan Allah. Acuan Allah.
Aliran kedua ini bukanlah seburuk aliran pertama yang telah rosak keikhlasan dan telah membesar kerakusan mereka terhadap habuan duniawi yang diterima. Aliran ini walau bagaimanapun adalah penyakit yang perlu dirawati dan rawatannya adalah rumit kerana ia melibatkan kumpulan pemuka ugama yang kepada merekalah tergadai kepercayaan umat dan ke atas merekalah tanggung jawab memimpin umat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan